GEMAS:
Kisahnya lucu, tetapi membawa pengajaran. Seorang Mat Rempit tertelan dua gigi
palsu teman wanitanya ketika asyik bercumbu di sebuah pondok di ladang sawit di
Felda Gugusan Palong, dekat Bahau, di sini.
Pasangan terbabit sebelum itu menghidu gam bersama
sekumpulan Mat Rempit selepas berlegar-legar dengan menunggang motosikal
bersama kekasih masing-masing di kawasan berhampiran kira-kira jam 10.45 malam,
Rabu lalu.
Menurut sumber, dalam keadaan ‘lalok’, kumpulan Mat Rempit
itu mula bercumbuan hingga seorang daripada mereka yang berusia 19 tahun secara
tidak sengaja tertelan gigi palsu kekasihnya yang tercabut.
“Menyedari gigi palsunya tercabut, teman wanita Mat Rempit
terbabit yang berusia 17 tahun panik lalu mencari-cari di sekeliling, tetapi
gagal menemuinya.
“Ketika itu, Mat Rempit terbabit yang dalam keadaan khayal
selepas menghidu gam memberitahu, dia tertelan gigi palsu itu,” katanya.
Katanya, pasangan itu bersama kumpulannya itu kemudian
balik ke rumah masing-masing kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 pagi, Mat Rempit itu
merasa perutnya tidak selesa.
Bimbangkan keadaan kesihatannya, dia mengambil keputusan
mendapatkan bantuan di sebuah klinik di Bahau bagi mengeluarkan gigi palsu itu.
“Doktor yang memeriksanya memberitahu gigi palsu itu tidak
dapat dikeluarkan lalu mengarahkan remaja itu pergi ke hospital untuk membuat
imbasan X-ray,” katanya.
Sumber itu berkata, Mat Rempit berkenaan yang bimbang
rahsianya diketahui umum pergi ke sebuah hospital swasta di Melaka untuk
menjalani pemeriksaan X-ray kira-kira jam 11 pagi.
“Doktor yang merawat Mat Rempit itu mendapati gigi palsu
terbabit masih berada dalam perutnya dan memberi sejenis ubat cecair bagi
mengeluarkannya ketika membuang air besar.
“Kira-kira lima jam kemudian, dua gigi itu dapat
dikeluarkan,” katanya.
Jumaat lalu, remaja terbabit dibenarkan pulang ke rumah
sebelum menyerahkan dua gigi itu kepada teman wanitanya.
Gigi itu bagaimanapun dicampak gadis berkenaan kerana
berasa geli.
June 04, 2017

0 comments:
Post a Comment